Halwa Telinga

Saturday 12 January 2013

Lafaz Yang Tersimpan

Sedarlah wahai insan
Kamu itu sebenarnya sangat hina
Kerna asalmu daripada nutfah yang bercampur
Yang disimpan di tempat yang kukuh
Diciptakan olehNya dari satu kejadian ke satu kejadian
Dalam tiga suasana yang gelap gelita.

Lahirmu ke dunia oleh insan yang mulia
Dengan penuh kemanjaan
Kau memanggilnya dengan gelaran ibu
Kau ditatang bagai minyak yang penuh
Titik keringat ayahmu tak terasa basahnya
Tatkala dia melihat wajah mulusmu itu
Kerna dia bekerja untuk membesarkanmu
Mereka menerangi qalbumu dengan cahaya ilmu
Sedikitpun tak kau dengar keluh kesah mereka.

Kelak kau dewasa
Kau punya landasan kehidupanmu
Kau bina mahligai kasihmu
Kau mencapai apa yang diimpikan
Menjadi insan yang dipandang tinggi
Adalah kejayaan yang boleh kau berikan tauladan
Buat anak-anakmu menjejak langkah
Menuju ke menara gading sama sepertimu.

Kerana kau nakhoda yang mengemudi bahtera keluarga
Jika kau mampu merendahkan egomu
Pastikan kau dapat melihat
Senyuman manis yang menguntum di bibir
Dari setiap insan yang kau sayangi.

Walau setinggi mana kau menapak
Kau tetap insan biasa
Kau masih seorang hamba
Yang berpijak di bumi ciptaanNya
Yang semua kau miliki itu
Rabb yang punya
Dan kepadaNya jua kau dikembalikan.

Lalu, layakkah kau untuk bertindak kasar?
Tikamana yang memberi teguran
Hanya ingin menasihatimu
Kerna kasihnya padamu.

Seandainya kau bisa mentafsir lirik mataku ini
Pastikan kau memahami lagu yang ku nyanyikan
Oleh anakmu yang tak lagi tegar
Untuk melihat kolam mata ibunya bertakung lagi.

NW
291012
2340


When you look at your life, the greatest happiness is family happiness.

Wallahu a'lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...