Halwa Telinga

Sunday 11 August 2013

Iman, Kutip Aku Kembali ...

Adyan meraba-raba Al-Quran mini kesayangan. Bermenung, dalam kaku. Sementara otak masih lagi ligat memutar kata-kata Ibu Halimah. Kata-kata biasa namun terasa sungguh menikam. Emosi terasa meragam, tidak menentu.

"Sedaplah Ain masak. Lain dari yang lain.", lembut sopan, ibu Halimah memuji. Adyan terdiam. Kata-kata itu tidak berbentuk sinis atau sindiran, tapi entah kenapa dia terasa yang dia bukan menantu yang baik. Bukan menantu pilihan dalam keluarga ini. Bukan terbaik dalam segala-galanya.

"Adyan belajarlah dari Ain. Mana tahu, esok-esok boleh buka restoran.", sambungnya lagi, sambil sibuk memandang tumbuhan hijaunya dari kekisi jendela dapur. Adyan sekadar melempar senyum.

"Mana boleh lawan Kak Ain, Bu.. Adyan jadi tukang basuh pinggan, boleh la!", lantas bersuara, masih lagi berwajah manis. Seulas bawang dihiris nipis-nipis. Kak Ain dari jauh mengangguk-angguk sambil cekatan mengacau kuah kari.

"Adyan.." Sergahan tiba-tiba membuatkan Adyan tersentak.

"Eh, ya?" Akurnya, sementara tangan lekas mencabut kain telekung. Melipat kemas, dan menyangkutnya semula ke penyidai kayu yang setentang dengan katil.

"Awak O...K?" Nazhif memandang, pelik. Adyan pura-pura tenang, seraya mengangguk laju. Nazhif mengeluh perlahan. Kopiah putihnya diletakkan di atas almari berkayu jati yang agak kukuh dan tinggi. Dengan sedikit menjinjat, dia lalu menyimpan Al-Quran di rak paling atas.

"Maaf..saya tak pandai masak." Adyan menunduk lemah, merebahkan punggung di atas katil.

"Adalah yang tak kena ni kan? Tiba-tiba saja?" Giliran Nazhif duduk. Bersebelah, cuba-cuba mendengar luahan.

"Memang betullah kan? Kita pasti terdorong untuk membanding-bandingkan, kalau ada dua pilihan. Awak tak rasa macam tu?" Adyan berbasa-basi. Nazhif mengangguk, setuju.

"Tapi, awak kan ada pilihan lain, Adyan.."

"Saya malu, sebab tak mampu jadi macam Kak Ain. Saya minta maaf, perasaan ni memang tak patut ada. Tapi tadi, saya rasa macam saya dibanding-bandingkan dengan Kak Ain. Saya tak..tak boleh ja..jadi macam dia!" Sebak mula menguasai suasana. Patah-patah kata makin lambat, akhirnya Adyan hanyut dalam air matanya sendiri.

"Kalau Ibu ada dua pilihan, awak pun ada dua pilihan, Adyan.." Nazhif melutut di bawah. Rasanya lebih baik dia bersemuka, dan bersetentang dengan Adyan. Adyan langsung berpaling, masih lagi serabut.

"Itu kan sifat manusia? Kadang-kadang, kita pun cenderung untuk memilih. Secara tak langsung, kita akan cuba membandingkan dua pilihan yang kita ada." Adyan masih diam membatu. Hanya esakan kedengaran, perlahan. Leleh air mata nyata masih merambu. Sesekali, dikesatnya menggunakan belakang tangan.

"Tapi Adyan..saya lebih suka soalan yang awak tanya saya dulu. Kenapa hari ni bacaan Al-Quran lebih sikit berbanding semalam? Kenapa solat semalam khusyuk, hari ini tak rasa nikmat? Kenapa semalam kita boleh bertahajud? Hari ini kita terlepas? Kenapa semalam sempat Al-Mathurat, tapi hari ni tak? Kenapa hari ni tak sempat Dhuha, tapi sebelum ni kita mampu? Itu perbandingan yang lebih bermakna, Adyan.." Nazhif kemudian diam, cuba memberikan Adyan seminit dua untuk berfikir.

"Dan..kita boleh refleks dosa-dosa kita dalam seharian. Sebab apa amal hari ni kurang. Sebab apa hati tak terasa nyaman dengan solat. Sebab apa terlewat tahajud. Sebab apa rasa tak tenang, dan jauh dengan Allah. Belenggu dosakah yang buat kita jadi macam tu, atau sebab lain?" Sambungnya kemudian. Tegas namun lembut. Wajah Adyan tampak lesu. Matanya memerah. Namun Nazhif mampu melepaskan nafas lega. Adyan kelihatan sedikit tenang berbanding tadi.

"Dan..kenapa hari ini saya terlalu sensitif dan bersangka buruk, sedangkan dah bertahun-tahun saya kenal Ibu?" Giliran Adyan menghembus nafas. Ditarik semula kali kedua, dan dilepaskan lagi.

"Hati saya yang tengah tak OK. Makna Al-Quran pun saya tak mampu hayati. Saya minta maaf.." Suara itu masih juga tidak ceria seperti selalu. Nazhif menggeleng laju.

"Bukan pada saya, Adyan.. tapi, Dia." Jari telunjuk dituding ke atas.

"Allah itu Maha Penyayang. Malam, Dia tunggu kita. Siang pun dia depakan tangan seluasnya untuk kita. Dia ada, sentiasa ada!" Air mata Adyan berlinang lagi. Taubat langsung mengiringi perjalanan hari ini. Kembali dia mengucup sejadah, menyembah kurnia agung dalam solat sunat taubat yang entah kali ke berapa.

"Iman, kutip aku kembali." Lirih sayu suara Adyan memohon kepada Allah SWT.

~o0o~ TAMAT ~o0o~


Janganlah kamu risau dengan amalan yang sedikit, tetapi, risaulah apakah amalan itu diterima Allah.
Saidina Ali RA

Wallahu a'lam.

Wassalam,
NW

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...