Halwa Telinga

Tuesday 31 December 2013

Senyum

Dia sepertinya masih di tempat yang sama
Tegak berdiri di hadapan teman karibnya
Barangkali masih mencuba-cuba;
Berdiri tegak, lurus, tidak condong, tidak goyah
Sambil-sambil membetulkan sesuatu
Yang sedari tadi tidak berganjak.

Sekejap cebikkannya ke kanan
Sekejap cebikkannya ke kiri
Sekejap satu garis rata
Dan, dia akhirnya mengeluh panjang
Barangkali sudah putus asa
Atau mungkin sudah lelah.

Tiba-tiba dalam kelelahannya,
Datang seorang sahabatnya
Dengan lembut syahdunya suara, dia bertanya;
"Masih mahu lagi mencari satu senyuman menawan?"

Dan dia pun menjawab dengan suara riang;
"Bagaimana?"

Sahabatnya pun berkata;
"Senyumanmu yang paling menawan ialah tikamana
kau tersenyum dihadapan kedua-dua ibubapamu
dan, ibubapamu pun turut tersenyum bersamamu."

NW
1247
311213


p/s : Sebagai penutup hari 2013, saya akhiri dengan entri ini dengan ringkasnya mahu mengajak semua anak-anak yang masih punya ibubapa (termasuk saya), untuk sama-sama mencuba membuatkan ibubapa kita bahagia.

Friday 27 December 2013

Maafkan Utih...

Setitik air susu yang masuk ke mulut
Besar hajat ibu nak tengok ku hidup
Air susu ibu nilai takda harga
Walau pitis beribu dengan duit berjuta.

Ku tengok muka ibu sejak muda sampai tua
Dahi kedut seribu uban putih penuh kepala
Tapi aku tahu ibu banyak jasa
Air tangan ibu seribu bau seribu rasa.

Oh ibu, oh ibu, terima kasih ibu.

Sejak kecik hingga aku dewasa
Nyamuk sekor tak bui ketik mu duk jaga
Makan minum kain baju tak bui kurang
Didik aku dengan penuh kasih sayang.

Bila besar baru aku kenal diri
Tak ternilai jasa ibu tabur budi
Tangan paha kaki sanggup jadi jamban
Rela susah diri pegho aku sorang.

Ibu yang dah tua duk perhati anak-anak
Hok dia tabur jasa bila besar dia nak tengok
Anak yang berjaya ditaruh harapan
Bekal hari tua tempat dia nak menumpang.

Oh ibu, oh ibu, jasamu kukenang.

Selama ini ibu duduk jadi hamba
Hari ini ku nak balas segala jasa
Sakit demam makan minummu kujaga
Nak bui senang hidupmu di masa tua.

Jasa baik budi ibu ku tak lupa
Walau setitik air susu mu kurasa
Nak buleh ku sorang, mu ngandung sembilan bulan
Letih penat badan mu tak ghoyak ke orang.

Ku cium tangan ibu mintak halal mintak ampun
Segala salah aku banyak sangat kalu hitung
Hari ini aku tahu nilai kasih ibu kandung
Budi dan jasa ibu setinggi-tinggi aku sanjung.

Pada anak-anak hok masih ada ibu
Tolonglah pakat tengok walau sekali sehari seminggu
Harta dia tak nak, harap kasih anak cucu
Tengok mata anak, terubatlah segala rindu.

Oh ibu, oh ibu, kusayang padamu
Oh ibu, halallah makan dan minumku
Oh ibu, oh ibu ampunkan dosaku
Oh ibu, oh ibu terima kasih ibu.


---

p/s:
Teruntuk ibu, ayah, along, dan angah yang baca blog utih ini;
utih mintak maaf atas segala salah silap utih;
terlepas kata kasar,
menyinggung perasaan,
marah tak tentu hala,
muka yang masam secuka,
terasa hati macam dia sorang punya hati yang terluka,
dan semua salah yang utih sedar ataupun tak,
maafkan utih.
ampunkan utih.
utih bukan anak yang baik.
utih bukan adik yang baik.
tapi utih cuba,
cuba untuk jadi yang terbaik untuk semua.
tolong utih sekali. ya?

utih sayang ibu.
utih sayang ayah.
utih sayang along.
utih sayang angah.
mungkin cara utih menterjemahkan sayang
ke dalam tindakan utih itu yang salah.

maafkan segala kesalahan utih.
terima kasih kerana masih lagi bersama-sama utih.
meski utih tak sempurna dan tak menyempurnakan.

Sunday 8 December 2013

Gerimis

Gerimis;
Ianya angan dan impian
Jika aku realitikan
Apa ada yang teringinkan?

NW
2013


Thursday 5 December 2013

Pada Kau; Hujan

Mengapa harus ada yang mem-benci-mu?
Sedang masih ada yang me-rasai-mu.

Bila kau mem-basah-kan bumi
Ramai yang mengeluh panjang
Tak boleh itu, tak boleh ini
Namun, kau masih ber-keras
Mahu menunjukkan yang jelas
Kau tak perlu di-gemas!

Ada seorang insan sepi
Di hujung penjuru dia menyepi
Dia me-lihat tiap rintik hujan
Dia men-dengar tiap lirik hujan
Dia meng-hidu tiap aroma hujan
Asyik yang mengasyikkan.

NW
2056
051213


"Some people f-e-e-l the rain, others just get w-e-t.
Feel the difference?"

Monday 2 December 2013

kau tak adil dalam menilai si dia!

saat pipinya si dia membasah -menangis; duka, derita, kecewa, sedih, pedih
saat hatinya si dia berdarah -luka; punah, ranah, patah, hancur, lebur
saat itu juga kau menyulam senyum; gembira, bahagia, riang, girang, senang
lalu kau menghukum si dia yang menderita itu
dengan hukuman yang sangat tidak adil!

kau kata si dia itu renyah
tapi, kau kata kau teguh!

kau kata si dia itu lemah
tapi, kau kata kau kuat!

kau kata si dia itu payah
tapi, kau kata kau tabah!

saat kau jatuh sepeti ceritanya si dia
nah, baru kau tahu, nilai sebutir air mata itu apa
nah, baru kau tahu, nilai sekeping hati nan rapuh itu bagaimana.

NW
0745
021213


Eh kau

Eh kau
Hanya kerana kau melihat bibirnya terkatup kemas
Kau jangan ingat yang dia itu membosankan
Apa kau tahu yang akalnya sedang ligat melontar idea?

Eh kau
Hanya kerana kau mendapat jawab darinya sepatah dua
Kau jangan ingat yang dia itu malas bicara
Apa kau tahu yang dia sudah penat bersandiwara?

Eh kau
Hanya kerana kau ditinggikan suara tak semena
Kau jangan ingat yang dia itu sedang amarah
Apa kau tahu dia sedang mencapai lelah?

Eh kau
Bila dia tiada punya 'mood' untuk menutur kata
Seharusnya kau mengerti dia
Menembusi matanya dia
Mendalami perasaannya dia
Kau cuma perlu beri dia masa
Dia juga butuh ruang privasi!

---

Kadang tak semua benda perlu diceritakan.
Cukup sekadar punya hati yang mampu memahami.

---

Maaf untuk setiap kata yang terlepas.
Maaf untuk setiap hati yang dia gurisi
Jujur, bukan dia mahukan semua itu.

---

Eh kau
Dengarkah apa yang sedang dia menyuara?
Ah, bagaimana kau bisa mendengarnya
Jika cuma matanya yang melirik aksara.

NW
0359
011213


Entah

Mengenalinya kadang seperti mengenal satu 'orang asing'
Yang entah dari mana
Tiba-tiba sahaja dia muncul
Yang entah kenapa
Tiba-tiba sahaja dia pergi
Ah, jadi pusing aku begini!

Yang seingat aku -lah
Aku makin rasa apa itu 'cinta'
Aku makin tahu apa itu 'benci'
Aku makin kenal apa itu 'setia'.

Apakah seharusnya aku mencintai dia?
Biarkan sahaja hati ini dirobek diluka
Sepertinya insan yang tiada punya perasaan.

Apakah seharusnya aku membenci dia?
Sedang ada dari sisinya dia
Secebis kebaikkan yang dapat aku raih.

Apakah seharusnya aku menyetiakan diri untuk dia?
Walau aku tahu persis
Cerita dia bahagia mendua.

Jujurlah, jangan biarkan aku tertanya
Berikan aku tanda dan jawapan
Untuk aku terus 'fight for us'
Walau hati ini seluhurnya tahu 'I'm torn apart'.

---

Atau sebetulnya;
Aku tak perlu mengenali dia sedari awal?

Entah -lah!

NW
0414
011213


Betapa tenatnya dunia dan isinya,
Betapa kemudian kau akan sedar;
Kau sedang menangisi hal yang terlalu remeh!

Ayuh, jiwa-jiwa yang rapuh!
Kembali bersatu dan menyatu
Bara -kan kembali semangatmu!

NW

Sunday 11 August 2013

Iman, Kutip Aku Kembali ...

Adyan meraba-raba Al-Quran mini kesayangan. Bermenung, dalam kaku. Sementara otak masih lagi ligat memutar kata-kata Ibu Halimah. Kata-kata biasa namun terasa sungguh menikam. Emosi terasa meragam, tidak menentu.

"Sedaplah Ain masak. Lain dari yang lain.", lembut sopan, ibu Halimah memuji. Adyan terdiam. Kata-kata itu tidak berbentuk sinis atau sindiran, tapi entah kenapa dia terasa yang dia bukan menantu yang baik. Bukan menantu pilihan dalam keluarga ini. Bukan terbaik dalam segala-galanya.

"Adyan belajarlah dari Ain. Mana tahu, esok-esok boleh buka restoran.", sambungnya lagi, sambil sibuk memandang tumbuhan hijaunya dari kekisi jendela dapur. Adyan sekadar melempar senyum.

"Mana boleh lawan Kak Ain, Bu.. Adyan jadi tukang basuh pinggan, boleh la!", lantas bersuara, masih lagi berwajah manis. Seulas bawang dihiris nipis-nipis. Kak Ain dari jauh mengangguk-angguk sambil cekatan mengacau kuah kari.

"Adyan.." Sergahan tiba-tiba membuatkan Adyan tersentak.

"Eh, ya?" Akurnya, sementara tangan lekas mencabut kain telekung. Melipat kemas, dan menyangkutnya semula ke penyidai kayu yang setentang dengan katil.

"Awak O...K?" Nazhif memandang, pelik. Adyan pura-pura tenang, seraya mengangguk laju. Nazhif mengeluh perlahan. Kopiah putihnya diletakkan di atas almari berkayu jati yang agak kukuh dan tinggi. Dengan sedikit menjinjat, dia lalu menyimpan Al-Quran di rak paling atas.

"Maaf..saya tak pandai masak." Adyan menunduk lemah, merebahkan punggung di atas katil.

"Adalah yang tak kena ni kan? Tiba-tiba saja?" Giliran Nazhif duduk. Bersebelah, cuba-cuba mendengar luahan.

"Memang betullah kan? Kita pasti terdorong untuk membanding-bandingkan, kalau ada dua pilihan. Awak tak rasa macam tu?" Adyan berbasa-basi. Nazhif mengangguk, setuju.

"Tapi, awak kan ada pilihan lain, Adyan.."

"Saya malu, sebab tak mampu jadi macam Kak Ain. Saya minta maaf, perasaan ni memang tak patut ada. Tapi tadi, saya rasa macam saya dibanding-bandingkan dengan Kak Ain. Saya tak..tak boleh ja..jadi macam dia!" Sebak mula menguasai suasana. Patah-patah kata makin lambat, akhirnya Adyan hanyut dalam air matanya sendiri.

"Kalau Ibu ada dua pilihan, awak pun ada dua pilihan, Adyan.." Nazhif melutut di bawah. Rasanya lebih baik dia bersemuka, dan bersetentang dengan Adyan. Adyan langsung berpaling, masih lagi serabut.

"Itu kan sifat manusia? Kadang-kadang, kita pun cenderung untuk memilih. Secara tak langsung, kita akan cuba membandingkan dua pilihan yang kita ada." Adyan masih diam membatu. Hanya esakan kedengaran, perlahan. Leleh air mata nyata masih merambu. Sesekali, dikesatnya menggunakan belakang tangan.

"Tapi Adyan..saya lebih suka soalan yang awak tanya saya dulu. Kenapa hari ni bacaan Al-Quran lebih sikit berbanding semalam? Kenapa solat semalam khusyuk, hari ini tak rasa nikmat? Kenapa semalam kita boleh bertahajud? Hari ini kita terlepas? Kenapa semalam sempat Al-Mathurat, tapi hari ni tak? Kenapa hari ni tak sempat Dhuha, tapi sebelum ni kita mampu? Itu perbandingan yang lebih bermakna, Adyan.." Nazhif kemudian diam, cuba memberikan Adyan seminit dua untuk berfikir.

"Dan..kita boleh refleks dosa-dosa kita dalam seharian. Sebab apa amal hari ni kurang. Sebab apa hati tak terasa nyaman dengan solat. Sebab apa terlewat tahajud. Sebab apa rasa tak tenang, dan jauh dengan Allah. Belenggu dosakah yang buat kita jadi macam tu, atau sebab lain?" Sambungnya kemudian. Tegas namun lembut. Wajah Adyan tampak lesu. Matanya memerah. Namun Nazhif mampu melepaskan nafas lega. Adyan kelihatan sedikit tenang berbanding tadi.

"Dan..kenapa hari ini saya terlalu sensitif dan bersangka buruk, sedangkan dah bertahun-tahun saya kenal Ibu?" Giliran Adyan menghembus nafas. Ditarik semula kali kedua, dan dilepaskan lagi.

"Hati saya yang tengah tak OK. Makna Al-Quran pun saya tak mampu hayati. Saya minta maaf.." Suara itu masih juga tidak ceria seperti selalu. Nazhif menggeleng laju.

"Bukan pada saya, Adyan.. tapi, Dia." Jari telunjuk dituding ke atas.

"Allah itu Maha Penyayang. Malam, Dia tunggu kita. Siang pun dia depakan tangan seluasnya untuk kita. Dia ada, sentiasa ada!" Air mata Adyan berlinang lagi. Taubat langsung mengiringi perjalanan hari ini. Kembali dia mengucup sejadah, menyembah kurnia agung dalam solat sunat taubat yang entah kali ke berapa.

"Iman, kutip aku kembali." Lirih sayu suara Adyan memohon kepada Allah SWT.

~o0o~ TAMAT ~o0o~


Janganlah kamu risau dengan amalan yang sedikit, tetapi, risaulah apakah amalan itu diterima Allah.
Saidina Ali RA

Wallahu a'lam.

Wassalam,
NW

Sunday 14 July 2013

Atau Aku Sebenarnya yang Tak Adil?

DANGGG!!! Sengaja dihempaskan pintu itu sekuat hatinya. Nak menunjukkan kehadirannya pulang setelah seminggu mendapat MC dari doktor kerana demamnya yang teruk.

“Hoi! Termenung jauh nampak. Punyalah suara merdu aku bagi salam, kau tak jawab pun. Dah sampai mana? Aku masuk bilik, tutup pintu punya lah kuat sampai sederet rumah ni bergegar pun kau boleh watlek, watchill macam takde apa lak kan. Kau asal ni? Fikir pasal apa? Ada masalah ke? Putus cinta?”, sapa Haq yang kelakar melihat telatah kawannya yang terkejut apabila disergahnya tadi.

“Takde apa la. Sorry. Aku tak perasan kau masuk tadi. Aku mengelamun jap tadi.”, jawab Ihsan sambil tergelak malu dengan telatah sepontannya tadi.

“Tau dah. Kau memang macam tu. Suka duduk sengsorang. Berfikir sengsorang. Semuanya nak sengsorang. Ni kau tengah fikir apa tadi? Tanak share, post, retweet, favourite ke dengan aku? Kata kawan kan.”, giliran Haq pula ingin memeriahkan suasana. Dia tahu walaupun Ihsan mempunyai smartphone, facebook, twitter, instagram, dia bukanlah orang yang 'gila' dengan social networking sampai tak boleh lepas dari tangan. Dia tahu, Ihsan lebih suka berkongsi sesuatu yang membawa manfaat kepada semua berbanding bercerita masalah dirinya atau memberitahu perjalanan hariannya.

“Terima kasih la sebab kau sudi faham aku ni jenis yang macam mana. Nak terharu lah macam ni.”, giliran Ihsan pula untuk mengambil hati sahabatnya sebagai denda tak sedar kehadiran Haq di rumah.
“Tadi, aku fikir, kenapa Allah tak adil ea?”, sambung Ihsan lagi dengan nada yang agak perlahan, namun masih lagi dapat ditangkap bait-baitnya.

“Maksud kau?”, dengan sungguh-sungguh Haq bertanya. Dia benar-benar ingin tahu apa sebenarnya yang mengganggu fikiran sahabatnya itu.

“Yela. Kenapa Allah lebihkan hambaNya yang tak melebihkan Dia. Kan tak adil namanya tu?”, lirih Ihsan. Di hujungnya ada nada marah bercampur geram.

“Kenapa kau cakap macam tu? Kau ada masalah negara ke?”, dalam keseriusan, Haq cuba untuk berjenaka kerana dia tidak suka keadaan yang tegang. Keadaan itu boleh mematikan moodnya. Dia suka suasana yang ceria.

“Takde lah masalah negara. Saja je. Terfikir.”, jawab Ihsan tanpa tersenyum. Dia benar-benar rasa tak puas hati.

“Eleyh kau. Ada masalah nak secret recipe lak dengan aku. Pada aku la kan, Allah lah sebenarnya yang Maha Adil. Kau silap sebab kau kata Allah, pencipta kau sendiri, tak adil. Sekarang siapa yang tak adil sebenarnya? Kau ke Allah?”, Haq cuba menduga Ihsan yang kelihatan tertekan berfikir.

“Entahlah.”, jawab Ihsan ringkas. Sengaja dia tak mahu menjawab panjang kerana dia tahu dia juga salah kerana mempersoalkan Allah. Dia sebagai hamba tak layak nak mempersoalkan tuannya.

“Sebenarnya pandangan kita sebagai manusia ni yang banyak silapnya. Pandangan kita terhadap adil tu yang silap. Sebab manusia ni, dia nampak adil tu dari segi kesenangan, kegembiraan tak termasuk kesusahan mahupun kedukaan.”
“Manusia ni, kengkadang ada satu masalah timpa diri dia, dah terus claim yang Allah tak adil. Allah jahat. Tak menyebelahi dirinya. Tak boleh lah macam tu kawan. Patutnya, bila masalah, ujian datang, kau kena bersyukur, redha, ikhlas, dan kuat untuk tempuhinya.”
“Sebab apa kena bersyukur? Sebab tak ramai yang Allah pilih untuk mengalami ujian macam kita hadapi. Bila Allah uji, boleh jadi Allah nak uji tahap keimanan kita. Boleh jadi Allah rindu nak dengar suara rintihan kita. Boleh jadi Allah nak hapuskan dosa-dosa kita yang lalu. Boleh jadi Allah nak selamatkan kita. Jadi, tang mana yang kau nak kata Allah tak adil? Bukankah Allah ciptakan kita untuk diuji siapakah di antara kita yang lebih baik amalannya?”
“Sebab tu aku cakap, kita kena banyak bersyukur, redha dan ikhlas, bila ujian datang. Tengoklah ujian dari sudut positif. Allah takkan uji seseorang hamba melainkan Dia tahu hambaNya mampu menanggungnya. Put your trust on Him. Hold tight to Him. Dia tak zalim. Cuba cari hikmahnya. Jangan tuduh melulu. Berdosa. Masuk api neraka tau.”, dalam ketegasan Haq menyatakan kebenaran, dia cuba untuk menyampaikan secara friendly supaya kawannya tak terasa hati bila dicakap.

“Yelah. Cuba kau tengok budak tu, batas ikhtilat tak jaga. Enjoy sana sini. Solat pun macam biskut. Bila nak solat, dia solat. Tapi, Allah bagi je nikmat kat dia. Melimpah ruah lagi tu. Aku ni. Macam ni je ha. Apo kono eh jang.”, jawab Ihsan sambil menunjukkan ke arah budak yang dimaksudkan. Dia masih lagi tak puas hati dengan ketidakadilan Allah dalam mengadili hambaNya.

“Sebab tu je ke sampai kau termenung jauh ke bintang, bulan, planet Pluto nih. Halia la kawan aku ni. Kang kalau aku gelak kau marah aku lak kan. Sebagai sahabat kau, aku mampu beri nasihat je lah ea. Kau pasang telinga bebesar. Bukak mata. Dan yang paling penting, bukak pintu hati kau tu seluas-luasnya.”,pinta Haq dengan nada rayuan.

“Baik murabbi! Saya yang menurut perintah. Saya mohon murabbi tunjukkanlah saya jalan.”, akhirnya Ihsan akur dan sudi untuk mendengar apa yang Haq ingin sampaikan dan nasihatkan padanya. Dia tahu Haq banyak mutiara nasihat yang sengaja disimpan tidak diberitahu umum. Malu katanya dahulu.

“Kalau kau perasan la kan, sebenarnya, nikmat kesenangan tu lah ujian yang paling susah sekali. Ya. Zahirnya, senang. Batinnya, susah. Kenapa kau rasa?” kali ni giliran Haq pula bertanya kepada Ihsan supaya Ihsan dapat berfikir dan membawa mindanya pandang dari sudut yang berbeza.

“Tak tahu la pulak aku. Ada zahir batin lak. Kau hengat hari raya ke hape?!”, sengaja Ihsan menjawab begitu kerana dia juga nak tahu apa jawapan Haq terhadap kenyataan yang diberikan. Dia juga ingin melihat sudut pandang Haq bagaimana.

“Takde lah raya. Saja je kau kan buat-buat tak tahu lak. Takpe. Maksud aku, zahir tu apa yang kita nampak. Batin tu apa yang tersirat, yang kita tak nampak. Macam aku cakap tadi ujian kesenagan paling susah sekali sebab masa senang ni la kita, manusia, selalu anggap yang kita ni tuan. Sedangkan kita ni sebenarnya hamba je. Nikmat yang diberi ni pun pinjaman je tau. Boleh jadi nikmat tu letaknya dalam akaun aset mahupun liabiliti. Ikut cara kita manage macam manalah. Kata student management accounting kan.”, hujah Haq tenang.

“Kau ni nak berfalsafah akaun pulak dengan aku. Tau la kau hebat. Tak payah la nak perli aku.”, belum sempat Haq ingin meneruskan penerangannya, Ihsan menyelit.

“Hoi! Cakap siang pepandang eh. Sejak bila pulak aku nak perli kau? Habaq mai sikit kat ceq. Aku nak bagitahu kau, supaya kau nampak. Ini kan bidang yang dekat dengan kita. Jadi aku nak kau applykan apa yang kau belajar bukan untuk dunia je tapi untuk akhirat sekali. Barulah mantop beb. Kau tengok, belajar akaun pun sebenarnya boleh dekatkan diri kita dengan Allah. Tak semestinya kena ambil jurusan agama je baru boleh dekatkan diri dengan Allah. Belajarlah apapun kerana semuanya ilmu Allah. Masih tak adil lagi ke Allah pada pandangan kau?”, dengan muka yang serious, Haq mempertahankan dirinya yang bukan bertujuan untuk memerli kawannya.

“Ok. Bereh boh. Macam mana nikmat tu boleh jadi aset atau liabiti?”, sambung Ihsan tidak mahu menegangkan lagkeadaan. Dia tahu yang Haq bukanlah orang yang suka merendah-rendahkan kawannya malah Haq lah insan yang banyak membantu dia dan bersama dengannya baik senang mahupun susah. Haq dah banyak membantu dan memberikan nasihat dan kata-kata semangat padanya sewaktu dia betul-betul down. Ihsan bersyukur kerana mendapat sahabat sebaik Haq. Tak mungkin ada yang dapat ganti tempatnya kelak kalau dia tiada.

“Ha. Ni aku nak cakap ni. Contoh nikmat yang akan menjadi aset, bila kau ada harta, kau sedekah kat parents kau ke, adik beradik kau ke, kengkawan kau ke, aku ke, kira sedekah kau tu akan masuk akaun aset la kat akhirat nanti. Macam hadis kata, ‘apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakan ibubapanya.’ Kat hadis tu sendiri, first-first dia cakap sedekah. Maknanya, Allah tahu, yang semua orang boleh dan mampu untuk memberikan sedekah. Jadi, bila nikmat kau adverse ke favourable ke, kau kena berusaha untuk bersedekah jugak. Sedekah ni pun ada banyak cara tak semestinya dengan wang ringgit. Kau jangan nak tengok dari satu sudut pandang je dan yang paling penting kau kena ikhlaslah semasa memberi sebagaimana kau ikhlas semasa menerima.”, ujar Haq dengan jelas dan bersungguh-sungguh kepada Ihsan.

“Liabiliti?”, soal Ihsan tak sabar ingin tahu.

“Liabiliti pulak bila kau gunakan nikmat kau tu kejalan yang salah la. Mu pahe dop?”, jawab Haq ringkas kerana tidak mahu mengusutkan kepala masing-masing.

“Betul jugak kan. Jadi apa kaitannya kau cakap semua ni kat aku?”, tanya Ihsan yang masih lagi kurang jelas dengan apa yang Haq cuba untuk sampaikan padanya.

“Tulah. Aku nak terangkan kat kau supaya kau nampak yang Allah tu adil. Adil Allah tu dengan caranya yang tersendiri. Kalau kau tengok orang senang, tapi, dia selalu lupa Allah, kau tahu tak yang sebenarnya dia tu sedang diuji Allah? Allah dah pernah cakap, ‘Maka, tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membuka semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka. Sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.’ Jadi, kau nak cakap apa sekarang? Allah tak adil lagikan?”, dalam keterangannya, Haq lebih suka bertanya soalan dihujungnya supaya dia tahu ada two-way conversations.

“Maksud yang kau nak cakapkan ni, kesenangan yang Allah bagi tu ada sebab. Allah nak uji sama ada dia bersyukur ataupun tak. Bila kita dikurniakan nikmat yang lebih baik berbanding dengan orang lain, Allah nak uji sama ada kita bolot semua atau kongsi bersama. Ringkasan yang kau cuba nak sampaikan kat aku ni, nikmat kesenangan tu ujian disebalik ujian. Ujian yang kita tak nampak yang sebenarnya itu juga ujian. Macam tu?”, duga Ihsan sambil mengerut-ngerutkan dahinya cuba berfikir rasional dan logiknya.

“Macam tu la lebih kurang. Kita ni manusia. Lemah. Siapa boleh jamin yang satu hari nanti orang yang kita dok mengata tak ingat Allah tu, akhirnya nanti Allah beri dia hidayah, boleh jadi dia lebih mulia daripada kita di sisi Allah tau. Jadi, aku nak tegur kau la ni. Sebelum kau nak cakap orang itu ini, kau kena sentiasa ulang-ulang ayat ni, ‘Kalau satu hari nanti Allah campakkan hidayah pada dia, boleh jadi dia lebih mulia di sisi Allah daripada aku’. Seriously. Bila kau cakap macam tu, automatically kau tak akan mengata yang tak elok dah kat orang lain. You will end up praying for him, mudah-mudahan Allah berikan dia hidayah. Betul. Tak tipu. Inilah cara yang aku selalu buat. Ini pun salah satu cara untuk elakkan kita rasa yang diri kita ni lebih mulia, lebih hebat, sedang hakikatnya kita ni sama je. Siapa dapat jamin, orang yang banyak beramal tu Allah suka? Boleh jadi Allah tak suka juga disebabkan amalan yang dilakukan untuk menunjuk bukan lillahita’ala.”, terang Haq memberikan pencerahan lagi.

“Ada betul jugak kau cakap kan. Macam Allah pernah cakap la, ‘barangsiapa yang bersyukur kepada Allah, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri. Dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah itu Maha Kaya lagi Maha Terpuji’. Maknanya, jika kita bersyukur ataupun tak terhadap nikmat sekalipun ujian, ianya tidak menjadi hal pada Allah sebab Dia Maha Kaya, Dia takkan bertambah mahupun berkurang.”, sambung Ihsan yang sudah mula terbuka mindanya.

“Bingo! Finally, you got my point. Lagi satu yang kau kena ingat selalu, dengan hamba kita meminta dengan khalifah kita memberi. Dah. Jangan serabutkan kepala otak kau tu. Jangan sebab kau ditimpa seciput kesusahan, kau persoalkan Allah tu tak adil. Allah tak sayang kau. Bla bla bla. Aku tak nak dengar dah lagi lepas ni. Kesusahan tu sebenarnya Allah nak kita belajar sesuatu daripadanya. Trust me, bila kita susah, kita lebih senang dapat rasa apa yang orang lain tak dapat rasa. Kita akan lebih rasa keyakinan yang Allah bersama kita. Bila Allah uji, Allah kata, ‘biarlah hambaKu itu, aku rindu nak mendengar suara rintihannya’. Rintihlah padaNya. Kita ni, manusia. Lumrah manusia selalu ingat, bila susah. Bila dah jatuh berdarah, baru nak ingat Allah kan.”, tambah Haq bagi merungkai masalah yang membelenggu fikiran sahabatnya sedari tadi dan juga sebagai peringat untuk dirinya sendiri agar Allah sentiasa berada dihatinya setiap masa.

“Thanks sahabat. Kau ni nampak je stylo mylo, tapi bila hujah agama, hebat jugak kau ni kan. Macam ustaz ustazah lak. Terima kasih sebab sedarkan aku ni.”, kata Ihsan dengan nada syukur dan berterima kasih dengan kehadiran Haq disisinya.

“Tade apa la tu. Kata sahabat kan. So, kat sini pun kau dapat pelajari satu lagi pengajaran, don’t judge book by its cover. Go read them and you’ll know their story behind.”, sempat lagi Haq memberikan Ihsan nasihat.

“Baikkkk.”, jawab Ihsan akur dan rela sambil tersenyum.

“Baguslah. Ni, kau sibuk benor urusan Allah, pertikaikan Allah tu adil ke tak, kau tu dah adilkan hak Allah belum?”, Haq cuba mengajukan lagi soalan yang menduga minda Ihsan supaya dia berfikir dengan lebih terbuka.

“Apa dia?”, jujur Ihsan menjawab bagaikan orang yang tidak bersalah.

“Jam punya la gedabak beso. Tak nampak ke buat-buat tak nampak kau ni? Pukul dua setengah dah dik oii. Dah solat ke belum? Nak dekat sejam lebih jugak aku bagi ceramah free kat kau ni. Solat jangan lupa. Tu kan hadiah isra’ mikraj Allah untuk kita. Maka, Allah yang tak adil atau sebenarnya kita, manusia yang lemah ni, tak adil dengan Allah? Tepuk hati, tanya iman. Kau jawab sendiri. Jangan lengahkan solat. Jom jemaah sama. Kau imam. Take it no leave it.”, masih sempat lagi Haq memberikan nasihat kepada Ihsan.

Mereka berdua pun beredar dari tempat duduk masing-masing dan menapak bersama mengambil wudhu’ untuk menunaikan solat fardhu zuhur berjemaah dengan diimamkan Ihsan. Hati Ihsan kembali tenang dan dia sudah mampu mengukir senyuman lebar setelah dapat bertukar pendapat dengan Haq. Ihsan benar-benar gembira dengan kehadiran Haq yang umpama cahaya menerangi dirinya. Benar, Haq telah banyak mengubah dirinya menjadi insan yang lebih baik. Mudah-mudahan, kita dipelihara oleh Allah sebagaimana Allah memelihara orang-orang yang soleh. Itulah doa Ihsan setiap hari untuk sahabatnya itu.

~o0o~ TAMAT ~o0o~


Janganlah kamu risau dengan amalan yang sedikit, tetapi, risaulah apakah amalan itu diterima Allah.
Saidina Ali RA

Wallahu a'lam.

***

Cubaan cerpen yang pertama
Pasti terselit kekurangannya
Mohon maaf jika ada yang tak kena
Kerana aku masih lagi mencuba.
NW

Wassalam,
NW

Saturday 13 July 2013

Worries End When Faith Begins














When words fail you, say it with pictures.

***

How can you claim that you are improving when you are not able to compete with others?
NW

Kumengharapkan kejayaan
Menanti dihadapan
Namun hakikat belum nyata
Harus berusaha.

Suatu hari nanti
Pastiku kan berjaya
Akan kubuktikan
Padamu ayahbonda
Disitu kita lihat
Kebenaran hakikat
Impian jadi nyata
Kata tetap dikota.

Bukan khayalan
Dan bukan lakonan
Tetapi itulah kenyataan
Kerana cita diiringi doa
Kita pasti akan berjaya.
Azam yang Suci

Doakan saya berjaya menamatkan pengajian CIMA, CGMA pada tahun 2014 dengan cemerlang dan jayanya. InsyaAllah. Aminnn ya Rabb.

The achievement of one goal should be the starting point of another.

Wassalam,
NW

Iman & Ujian

Iman itu diuji
Iman itu bahagia
Iman itu bahagia apabila diuji
Bersedialah untuk diuji
Dengan setia menambah iman.

Dengan iman kita diuji
Dengan ujian kita menambah iman.

Orang yang bahagia tak sempat bertanya
"Apakah aku sudah bahagia?"
Kerana terlalu sibuk menghadapi ujian.

Mereka hanya sempat bertanya
"Apakah aku sudah beriman?"
"Adakah aku beriman?"


Wallahu a'lam.

Saturday 29 June 2013

For The Win

"Your worst enemy is yourself."








"The heart is the only broken instrument that works."

FTW, prove it!

***

Jika kita katakan kejayaan itu kepada keadaan Nabi Ismail AS yang tidak jadi disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim AS dengan digantikan dengan seekor kibasy,

Apakah Nabi Zakaria AS yang syahid dan terbelah dua kerana digergaji oleh musuh Allah SWT itu tidak berjaya?

Apakah Sumayyah yang mati ditusuk oleh kafir Quraisy itu tidak berjaya?

Pahrol Mohd Juoi

Wallahu a'lam.

Friday 21 June 2013

Senandung Cinta Al-Fatihah









***

Alhamdulillah. Baru sebentar tadi kita luangkan masa bersama membaca Surah al-Fatihah.

***

Sebelum kita pergi lebih mendalam, jom kita recall balik tatabahasa (Kata Ganti Nama Diri, KGND) semasa belajar di sekolah dahulu untuk lebih kefahaman :

KGND 1 : Saya, Aku, Kami, Kita

KGND 2 : Awak, Engkau, Kamu, Anda, Kalian

KGND 3 : Dia, Ia, Beliau, Nya, Mereka

***

Kenapa saya recall balik tatabahasa masa sekolah dahulu?

Tujuannya adalah untuk dikongsikan bersama berkenaan ayat yang ke-5 dalam surah al-Fatihah, iaitu :

"Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'iin"

"Hanya kepadaMu kami sembah dan hanya kepadaMu kami meminta pertolongan."

***

Kadang-kala, dalam al-Quran, digunakanNya, "Ana - Aku".
Kadang-kala, digunakanNya, "Nahnu - Kami".
Kadang-kala, digunakanNya, "Hua - Dia".

Sebenarnya, "Ana, Nahnu, Hua - Aku, Kami, Dia", yang digunakan dalam al-Quran adalah untuk menunjukkan kekuasaan Allah, keagungan ayat-ayat al-Quran.

Penggunaan setiap perkataan didalamnya ada makna, maksud, dan kegunaan yang tersendiri.

***

Cuba ulang baca ayat yang ke-5 tadi berserta dengan maksudnya sekali.
Dan cuba berfikir, kenapa atau soalan yang lebih tepat ialah apakah hikmahnya digunakan

"Iyyaka... - Hanya kepadaMu (Engkau)"

bukannya

"Iyyahu... - Hanya kepadaNya (Dia)" ?

***

Hikmahnya adalah kerana :

"Iyyaka... - Hanya kepadaMu"
Allah SWT mahu kita rasa dekat denganNya.

Berbeza jikalau Allah SWT gunakan :

"Iyyahu... - Hanya kepadaNya"
Bukankah akan membuatkan kita rasa jauh denganNya?

*Ulang baca ayat tersebut dengan maknanya.*
*InsyaAllah, mudah-mudahan akan dapat pencerahannya.*

***

Jika masih kurang jelas, maka, izinkan saya untuk mengambil contoh mudah yang berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Lihat, rasa, fikir, dan kemudian cuba kaitkannya dengan ayat tadi (1 : 5).

Cuba kita bezakan ayat di bawah ini :

1) Aku mencintaimu, suami/isteri/sahabat-ku, kerana Allah.
2) Aku mencintai dia, suami/isteri/sahabat-ku, kerana Allah.

Dua ayat yang maksudnya sama, cuma rasa/penjiwaan(aura)nya berbeza.

Bukankah, "kamu" itu lebih dekat daripada "dia"?

***

Begitulah indahnya ayat-ayat cinta yang Allah SWT wahyukan, 

"Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'iin"

"Hanya kepadaMu kami sembah dan hanya kepadaMu kami meminta pertolongan."

Kerana sesungguhnya, penggunaan

"Iyyaka ... - Hanya kepadaMu"

akan membuatkan kita rasa lebih dekat dengan Allah SWT.

Wallahu a'lam.


Aneh, kadang-kala "Kau" gunakan "Aku".
Kadang-kala "Kau" gunakan "Kami".
Aku amat daif, tidak mudah menegerti akan maksudnya.
Namun, kemudiannya aku dikejutkan oleh kilatan ilmu.
Terkesima sebentar, mengapa selama ini aku tegar melupakan.
"Kau"lah "Aku" dan "Kau" jualah "Kami".
Kau, Aku dan Kami dalam Kurniaan Rezeki, Nota Hati Seorang Lelaki; Pahrol Mohd Juoi


Nota Kaki :
Entry ini asalnya ialah perkongsian dari sahabat untuk sahabat-sahabat.
Mudah-mudahan selepas ini kita dapat meningkatkan penjiwaan kita dalam pembacaan Surah Al-Fatihah semasa solat mahupun luar solat agar pembacaan itu datang bersama-sama rohani.

Maaf jika entry kali ini macam huru-hara.
Saya cuba meringkaskan dan menerangkan sebaik yang mungkin.
Sebarang kekurangan datang dari diri saya sendiri dan segala kelebihan datang dari Allah SWT jua.

Harap para pembaca yang lebih arif dan ahlinya dalam bidang ini dapat membetulkan kesalahan yang saya sampaikan dan berkongsi ilmu kerana saya juga masih dalam proses pembelajaran.

Terima kasih.


Wallahu a'lam.

Wassalam,
NW

Thursday 20 June 2013

Siapakah yang Lebih Cinta Pasangannya?

Dua bilah kayu disatukan dengan paku.
Dua ketul bata disatukan dengan simen.
Dua hati disatukan dengan apa?

Jawabnya, dengan Iman.

Dua hati yang beriman akan mudah disatukan.
Jika dua hati mengingati yang Esa, pasti mudah keduanya bersatu.
Begitulah dua hati suami dan isteri akan mudah bersatu bila Iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.

Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang lebih cinta pasangannya?

Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah yang lebih cintakan pasangannya.

Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak mengekalkan cinta antara berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar mencintai kepada yang Esa.
Jika sama-sama cintakan yang Maha Kekal, pasti cinta tersebut akan berkekalan.

Pahrol Mohd Juoi


Wallahu a'lam.

Wednesday 19 June 2013

Perjalanan Ini

Dalam mencari redha Allah
Satu carian yang aku tak tahu
Sama ada dipertemukan jalan
Jalan yang tiada pengakhiran
Jalan yang tiada pengawalan
Kerana mulanya tidak diketahui
Pengakhirannya sepi bersendiri.

Kadang rasa diri hilang dari rahmat Tuhan
Tidak dipertemukan jalan
Sukar kembali ke pangkal jalan
Aku mengharap naunganMu Tuhan
Untuk aku terus berjalan
Mancari makna makrifat
Mengenal akan hakikat
Tunduk pada syariat
Tahu pada qudrat
Dan pada nama yang sedia tercipta.

Panduku ya Allah
Agar hatiku terpandu
Agar jiwaku tak buntu
Agar diriku tak kaku
Dan dengan itu
Aku akan mengenaliMu.

MF


Sumber : Perjalanan Ini

Pedoman

Di sini dunia tempat berhabitat
Tempat terbentuk peribadi dan sifat
Di dalam sphera tidak terasa ia berpusing
Hanya merasai musim berganti musim
Hari berganti hari
Adakah kita ambil pusing?

Mendengar kata orang, aku berpusing-pusing
Hilang identiti tak kenal musim
Hidup berpusing-pusing macam gasing
Bila sifat dalam diri tak ambil pusing.

Angguk dengar cakap orang itu lagi penting
Di tolak ke tepi
Nah... ke arah mana?
Lalu aku tunduk sahaja tanpa banyak tanya
Sampai terhantuk dan luka ku biarkan saja.

Sampai bilakah masih mahu terus berpusing
Mengikut arah dan telunjuk orang lain
Membiarkan identiti dijajah oleh orang asing
Mereka ketawa tengok kita berpusing
Kita langsung tak ambil pusing

Ku terhantuk
Hatitku terketuk
Lalu berhenti berpusing
Ini realiti hidup bukannya gasing.

Bentuk sifat pada jati
Bentuk peribadi dengan percaya pada Ilahi
Agar teguh hati dengan jati diri
Baru kita ada sifat yang tersendiri
Baru terasa hidup di sphera ini bererti.

Sphera ini tidak akan selamanya berpusing
Sampai masa ia akan berhenti pusing
Pada masa itu tidak guna lagi nak ambil pusing.

MF


Kata tuan tulis :
Satu adaptasi dari malique
Ku nukil ia hingga bunyinya tertarik
Ku hias bahasanya hingga liriknya jadi cantik
Harap yang membacanya tidak pelik.

Sumber : Pedoman

Sempurna

Jika kau katakan sempurna
Ada pada siapa yang memandang
Bagaimana yang memandang.

Aku mengatakan matanya, hatinya, emosinya
Sudut pandangnya, fikirnya belum
Sempurna untuk menyempurnakan.

Eloklah kau dan aku
Bersama kita katakan
Sempurnakanlah yang Menciptakan
Jujur, nescaya sempurna!

US


Aku Mencari

Aku mencari
Sebab aku berada disini
Aku mencari
Kenapa ku disini
Aku mencari
Apakah yang membawa aku kesini
Aku mencari
Dimanakah pengakhiran aku nanti.

Ku berjalan di sepanjang jalan
Ada yang bersimpang ada yang berhalangan
Aku terus berjalan
Berbekal dengan sekecil pengalaman
Dipandu dengan hikayat pengalaman
Dari orang yang berpengalaman.

Agar aku tidak kesesatan
Agar aku tidak kecewa di pengakhiran
Agar aku tidak kecewa di pertengahan
Agar aku tidak mengecewakan sejuta impian
Agar aku tidak terkecewa dengan kehampaan
Aku mengerti masih jauh perjalanan.

Tiada tuju hanya berbekal peta orang-orang dahulu
Dengan senaskah buku tinggalan zaman
Yang semakin lama ditinggal penghayatan
Walau sering dibacakan
Kata-kata yang hanya dijadikan bingkisan.

Hanya gah berkata
Hanya bangga membaca
Tapi tidak diambil iktibar didalamnya
Mungkin kita lupa akan penghayatannya
Mungkin sukar memahaminya
Kerna itu kita hanya membacanya.

Akhirnya berulanglah sejarah lama
Yang pernah dicerita sejak sekian lama
Jalan ceritanya sama cuma wataknya berbeza
Itulah aku yang bernama manusia
Walau dibekal dengan ayat-ayat cinta
Tapi masih gagal menemui jalannya.

Kembalikanlah aku Tuhan
Agar aku kembali memujiMu
Kembalikanlah aku Tuhan
Agar bibirku sentiasa menyebutmu
Kembalikanlah aku Tuhan
Agar aku bisa belajar dari ayat-ayat cintaMu
Tunjukkanlah aku jalan
Supaya aku hampir padaMu
Dan bisa menikmat hikmah cintaMu.

MF


Sumber : Aku Mencari

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...