Halwa Telinga

Friday 8 March 2013

Penyempurna Cinta

Allah dengan sifat ar-RahmanNya
Dia mewujudkan rasa cinta
Dia jua mewujudkan rasa sayang
Terselit di lubuk sekeping hati insan
Untuk dikongsikan rasanya sesama kita.

Indahnya hubb yang Allah ciptakan
Letaknya pada makna yang disimpulkan
Dipandu ke jalan yang diredhaiNya
Disandarkan pada pemilik cinta hakiki
Barulah bertemunya tidak jemu
Berpisahnya pula tidak gelisah.

Seperti cintanya Adam dan Hawa
Bertemunya di singgahsana Syurga
Angkara terpedaya hasutan Syaitan
Tersingkirlah mereka dari Syurga
Berpisah mereka di dunia fana
Sehingga kalimah pengampunan Adam
Diangkat dan diterima Allah
Jabbar Rahmah menjadi saksi pertemuan
Dua insan yang lama terpisah.

Kerana Allah menciptakan kita
Mustahil Dia tidak tahu apa kita mahu
Cantiknya fitrah yang Allah hadiahkan
Cuma terkadang manusia menyalahinya
Kerana kita insan biasa
Kadang terasa ingin disayangi
Kadang terasa ingin dicintai
Seperti dahulunya aku menagih kasih
Dari manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku di lorong gelisah
Luka hatiku yang berdarah
Kini jadi kian parah
Dek sikap manusia yang sombong lagi angkuh
Tidak tahu nilai mensyukuri semasa adanya dia.

Semalam sudahpun berpenghujung
Telah kulipat kemas kisah seribu duka
Kuharap ianya kian berlalu
Tak ingin kukembali setelah menyedari
Gerak dosa menghiris hati
Kerana sayangnya padamu wahai sahabat
Aku tidak mahu kau turut terjatuh
Ke dalam lembah yang menghanyutkanmu
Dengan cinta manusia
Yang manisnya hanya di bibir.

Kutitipkan secebis nota pesanan
Buat musafir di bumi cinta
Jangan dicari cinta manusiawi
Dihias indah tiada tercela
Kelak kau rasa pedihnya disakiti
Utamakanlah cinta Ilahi
Sehingga hatimu menjiwai bait-bait
"Cukuplah Allah bagiku
Tiada yang lain dalam hatiku
Selain daripada Allah"
Disitu kan kau temui bahagia abadi
Walau Dia tidak kelihatan
Walau Dia tidak bertempat
Kerana Dia penyempurna cinta hakiki.

NW
060313
1130


Cintakan bunga, bunga kan layu.
Cintakan manusia, manusia kan pergi.
Cintakan harta, harta itu nanti akan kau tinggalkan jua.
Cintakan Ilahi, itulah cinta hakiki.

Wallahu a'lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...