Halwa Telinga

Friday 29 March 2013

Di Mana Dia Dihatiku?

Di mana Dia dihatiku?
Tatkala laungan azan bergema
Aku masih lagi tidak mengorak langkah
Bersama-sama mereka yang rukuk
Itukan seruan Ilahi!
Memanggil mengajak insan
Menyembah Allah yang Maha Esa
Juga buat menyedari mana letak diri
Bahawa aku ini ditaraf hamba cuma.

Di mana Dia dihatiku?
Tikamana aku mendongakkan muka ke langit
Fikiranku dibuai dengan angan-anganku
Bukannya memuji kebesaran Yang Maha Agung
Bahawa Dialah yang menciptakan semua
Dalam enam masa dan hikmahnya
Teringatlah aku bahawa
Tiada yang lebih diharapkan Pencipta
Dari makhluknya selain memujiNya.

Di mana Dia dihatiku?
Pabila ombak ujian datang memukul diri
Semangatku hilang entah kemana
Bagaikan tiada lagi harapan buatku kesana
Ujian itu sebenarnya sesuai dengan kemampuanku
Cuma terkadang aku yang alpa
Bahawa sebenarnya Allah itu ada
Sujudlah aku menyembah Dia, penyelesai segala masalah
Kerana pada tika itu Dia sebenarnya
Sangat merindui untuk mendengar suara rintihanku
Serta pengabdianku khusus untukNya.

Di mana Dia dihatiku?
Saat aku dikurniakan rezeki yang melimpah ruah
Lagakku di dunia bagaikan kupunya segala
Sedangkan Allah itu Maha Kaya
Lantas, kupanjatkan kesyukuran kepadaNya
Kerna aku tahu syukur itu sangat tinggi nilai karamahnya
Sedarlah aku bahawa aku ini saluranNya
Untuk Dia memberikan rezekiNya tanpa hisab
Agar aku dapat mengongsikannya bersama
Barulah keadilan itu dapat dirasai semua
Barulah simpulan ukhuwah itu dapat dikukuhkan setia
Barulah keindahan Islam itu dapat diserlahkan segala.

Pabila dunia mengikat diriku
Sehinggakan aku melupai pencipta dunia
Pantas kubisikkan sama hati
Di mana Dia dihatiku?

NW
280313
1920


"Ya Allah, anugerahkanlah pertolongan kepadaku untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu, dan memperelokkan ibadahku kepadaMu."
Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonan kami.
Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar doa.
Aminnn.

***

Tanya sama hati mana letak diri?
Hati menjawab kamu itu cuma hamba Ilahi
Berjalanlah di muka bumi dengan rendah diri
Baru tahu mana fantasi, mana realiti.
NW

Wallahu a'lam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...